LEBIH 800 BEKAS PEMBANTU TADBIR SAMBILAN SEKALI LAGI MERAYU DIBERI SEMULA JAWATAN
KOTA KINABALU: Noor Ismawaty Ismail, seorang bekas Pembantu Tadbir (P/O) N17 Sambilan negeri Sabah sekali lagi merayu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya kesemua 813 orang yang terlibat di negeri ini dilantik semula.
Beliau yang juga Pengerusi AJK Bertindak jawatan itu berkata, kumpulan ini berharap apa yang telah diumum oleh Menteri Pendidikan melalui kenyataan media pada 26 Mac 2017 akan dilaksanakan. Dalam kenyataan Menteri Pendidikan itu dipetik berkata, 'jawatan pembantu guru bukan ditangguhkan tetapi belum dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain kerana ia melibatkan kos yang tinggi dan jawatan ini diteruskan sejak 2015 bagi negeri Sabah, Kedah dan Melaka. Malah, mereka masih bertugas seperti biasa'.
Menurut beliau, perjuangan untuk menuntut jawatan ini sudah dibuat sejak awal tahun 2014 lagi setelah ditamatkan kontrak pada 31 Disember 2013 bersama-sama Pembantu Tadbir Sambilan di negeri Kedah. Beliau ditemui disini untuk mengulas lanjut isu ini.
Ujarnya lagi, berbagai usaha telah dilakukan agar jawatan ini dapat dilantik semula melalui beberapa pertemuan dengan pemimpin yang memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan antaranya YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Timbalan Perdana Menteri, YB Dato' Seri Mahdzir Khalid Menteri Pendidikan dan YB Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia. Namun, belum ada sebarang jawapan yang positif berhubung jawatan ini setakat ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa, jawatan ini diwujudkan adalah untuk membantu mengurangkan beban tugas guru dan tugas hakiki untuk mendidik dapat diberi tumpuan sepenuhnya. Selain itu, semua Pembantu Tadbir Sambilan yang terlibat sudahpun diberi kursus oleh JPN Sabah dan PPD masing-masing berhubung tugas dan tanggungjawab bagi jawatan ini. Disamping itu, KPM sendiri telah melakukan program pemantaun jawatan ini untuk negeri Sabah dan Kedah. Beliau berharap, kerajaan melalui pimpinan YAB Dato' Sri Mohd. Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia dapat mempertimbangkan rayuan ini agar semua yang terlibat di negeri ini dilantik semula.
Comments
Post a Comment